Privasi

Privasi dan keselamatan anda penting kepada kami. Pasukan Paparan Jalan mengambil beberapa langkah untuk membantu melindungi privasi dan ketanpanamaan individu apabila imej dikumpulkan untuk Paparan Jalan, termasuk mengaburkan muka dan plat nombor kenderaan. Anda boleh menghubungi pasukan Paparan Jalan dengan mudah jika anda melihat imej yang sepatutnya dilindungi atau imej yang membimbangkan. Ketahui lebih lanjut dengan menonton video kami atau membaca perkara di bawah.



Ciri Privasi

Akses Awam Sahaja

Paparan Jalan mengandungi imejan daripada jalan awam yang tiada bezanya dengan yang dapat anda lihat semasa memandu atau berjalan di sepanjang jalan. Jenis imejan ini tersedia dalam pelbagai format untuk bandar-bandar di seluruh dunia. Dalam keadaan tertentu, Google akan bekerjasama dengan organisasi seperti Disneyland Paris untuk menjadualkan pengumpulan imejan harta tanah mereka.

Imej Paparan Jalan bukan masa nyata

Imej kami hanya menunjukkan apa yang dapat dilihat oleh kenderaan kami pada hari kenderaan itu dipandu melalui lokasi tersebut. Selepas itu, masa selama beberapa bulan diperlukan untuk memproses imej yang dikumpulkan sebelum imej itu muncul dalam talian. Perkara ini bermakna imej yang anda lihat di Paparan Jalan mungkin imej dari beberapa bulan hingga beberapa tahun yang lalu.

Individu dan plat nombor dikaburkan

Kami telah membangunkan teknologi canggih pengaburan wajah dan nombor plat yang digunakan pada semua imej Paparan Jalan. Perkara ini bermaksud, wajah yang dapat dikenal pasti (contohnya orang yang lalu di tepi jalan) atau nombor plat yang dapat dikenal pasti yang terkandung dalam salah satu imej kami akan dikaburkan secara automatik oleh teknologi kami, menjadikan individu atau kenderaan tersebut tidak dapat dikenal pasti. Jika alat pengesan kami terlepas sesuatu, anda dengan mudah dapat memaklumkan perkara itu kepada kami.

Melaporkan Isu

Anda boleh meminta pengaburan lanjut imej tertentu

Kami menyediakan alat yang dapat diakses dengan mudah yang membenarkan pengguna meminta pengaburan lanjut sebarang imej yang menampilkan pengguna itu, keluarga, kereta atau kediaman mereka. Selain pengaburan wajah dan nombor plat secara automatik, kami akan mengaburkan keseluruhan kereta, rumah atau orang apabila pengguna membuat permintaan untuk pengaburan lanjut ini. Pengguna juga boleh meminta imej yang menampilkan kandungan yang tidak sesuai (contohnya: kebogelan atau keganasan) dikeluarkan.

Laporkan masalah

Cara melaporkan kebimbangan

Jika anda menemui imej yang mahu dikaburkan dengan lebih lanjut atau imej yang anda percaya mengandungi kandungan yang menjelikkan, cuma ikuti langkah ini:

  1. Cari imej dalam Paparan Jalan.
  2. Klik "Laporkan masalah" di sebelah kiri bahagian bawah tetingkap imej itu.
  3. Lengkapkan borang dan klik "Serah".

Selesai. Kami akan menyemak laporan anda dengan segera.